Selasa, 29 Oktober 2013

EPAL KE PEAR?



Apa kena mengena buah epal dengan buah pear dengan anda? Saya pasti ada di kalangan anda yang sudah tahu anda ni macam buah epal atau buah pear. Sebenarnya dua buah ini adalah perbandingan yang dibuat untuk melihat distribusi lemak di bahagian badan. 

1) Jenis buah epal juga dikenali sebagai jenis Android.
  • banyak terjadi pada lelaki dan wanita yang telah mengalami menopous
  • timbunan lemak banyak terdapat di bahagian atas
  • lebih berisiko mendapat penyakit yang berhubungan dengan metabolisme glukosa dan lemak seperti kencing manis, penyakit jantung, strok dan tekanan darah tinggi
  • lebih mudah untuk turun dengan diet dan senaman yang teratur

2)  Jenis buah pear juga dikenali sebagai jenis ginoid

  • timbunan lemak di bahagian bawah tubuh iaitu di sekitar perut, pinggul, paha dan punggung
  • banyak terjadi pada wanita
  • lebih selamat dari penyakit-penyakit seperti penyakit  kencing manis, penyakit jantung, strok dan tekanan darah tinggi
  • amat sukar untuk diturunkan 

 #SNSI_SSWC

Isnin, 28 Oktober 2013

KEBAIKAN MEMPUNYAI BERAT BADAN SIHAT/IDEAL

Anda telah pun mengetahui tentang BMI dan cara pengiraannya. Berat yang ideal untuk anda juga telah diketahui. Adakah anda berada di dalam kategori kurus (underweight), normal atau terlebih berat (overweight) ataupun obes. Adakah anda mahu kekal dengan berat sebegitu. Jika anda di dalam kategori normal maka anda perlu mengekalkannya. Jika anda terlebih berat sehingga ke tahap obes, tanya diri anda samada anda hendak kekal di kedudukan itu atau anda hendak berubah. Cuba anda lihat kebaikan-kebaikan jika anda dapat mempunyai berat badan yang sihat atau ideal.

Antara kebaikan mempunyai berat badan sihat:

  •     Kurangkan risiko sakit jantung, stroke, obesity, depresi (murung) dan kencing manis 
  •    Kurangkan tekanan pada sendi (joint)
  •    Mengawal penyakit yang sedia ada seperti tekanan darah tinggi, kencing manis,            kolestrol tinggi, osteoporosis, sakit belakang, arthritis 
  •    Mendapat tidur  yang berkualiti
  •    Meningkatkan tenaga dan stamina 



#SNSI_SSWC

BERAT IDEAL

Mengekalkan berat badan yang ideal dapat membantu mengelakkan obes atau terlalu kurus dan juga mengelakkan penyakit-penyakit berbahaya. BMI yang ideal adalah 22. Berat badan ideal bagi BMI 22 dikira seperti berikut: 

Berat Ideal (kg) = 22 x Tinggi (m) x Tinggi (m) 

Contoh:           Tinggi = 1.55m 
                        
                       Berat Ideal = 22 x 1.55 x 1.55 = 52.855 ± 52.9kg 




Selasa, 22 Oktober 2013

BMI

Setiap orang mengambil berat mengenai berat badan mereka. Tapi apakah perkara asas untuk menentukan berat ideal. Kuncinya adalah BMI.

BMI adalah singkatan untuk ‘Body Mass Index’ atau indek jisim tubuh.
Indeks ini menggunakan formula mudah berikut.

BMI = Berat (kg) / Tinggi (m) / Tinggi (m) 

MENILAI KEPUTUSAN BMI BMI KLASIFIKASI (oleh WHO)

 Kurang dari 18.5 ---------------------------Kurang Berat / Kurus
18.5 atau lebih dan kurang dari 25------Normal
25 atau lebih dan kurang dari 30--------Terlebih Berat / Gemuk
30 atau lebih--------------------------------Obes

#SNSI_SSWC

Khamis, 17 Oktober 2013

KELAS AEROBIK BERMULA

 Hai Ladies,
Untuk makluman kawan-kawan semua, terutamanya yang tinggal berhampiran So Sweet Wellness Centre di Ayer Molek, Melaka, kelas aerobik yang pertama akan bermula Ahad ini (20/10/2013).

Pagi ahad ini bermula jam 7.45 pagi selama 1 jam, kita akan bersenam aerobik. Pasti anda cergas dan sihat, insyaAllah. Ini merupakan sesi pertama, semua ladies yang berminat perlu berpakaian dan berkasut sukan. Bawa air putih/mineral untuk diminum semasa bersenam. Kami juga menyediakan 'water dispenser' untuk kegunaan anda semua. 

Bayaran untuk mengikuti kelas ini adalah seperti berikut:

Walk in = RM 10 untuk satu kali kelas.

Pakej = RM 48 untuk 8 kali kelas. 

Jadual kelas kami akan ditentukan oleh Aerobic Instructor kami iaitu Pn Feeza. Setiap kali akan diadakan kelas, kami akan maklumkan melalui FB Page: So Sweet Wellness Centre dan whatsapp group di nombor 0136254381.

#SNSI_SSWC

Selasa, 15 Oktober 2013

Keinginan yang kuat untuk berubah pasti boleh!!

Dua hari lepas ada seorang pelanggan datang ke kedai Farmasi Duyong. Dalam hati, timbul rasa kesian. Lelaki itu anggaran umur 50an. Saya perhatikan dia termengah-mengah walaupun berjalan dari pintu masuk ke kaunter dalam kedai. Saiz badannya sangat besar. Anggaran BMI 45 dengan saiz XXXL. Dia beli supplemen CoQ10 yang bertujuan untuk perbaiki fungsi jantung dan meningkatkan tenaga. Saya perhatikan sahaja. Tiba-tiba dia bertanya adakah supplemen ataupun makanan kesihatan yang boleh dia amalkan untuk turunkan berat badan. Alhamdulillah di saat seseorang yang membuka hatinya sendiri untuk berubah dan benarkan orang lain memberi pendapat tentang kesihatan diri, pasti ada ruang. Saya terangkan dengan senang hati. Ingin membantu dan berikan cadangan terbaik untuk dia ikuti seperti total kalori sehari, senaman sesuai dan supplemen yang sesuai.
Rupa-rupanya dia seorang pesara. Dulu terlalu sibuk bekerja. Kategori vip ni. Dia cerita, kerja dulu asyik naik turun flight sebab urusan luar dan dalam negara. Lupa pasal kesihatan diri sendiri. Sekarang jalan 15 langkah pun dah penat, sakit dada dan sakit lutut sebab terlalu gemuk. Selesai sesi kaunseling ubatan, saya sempat ingatkan pada pelanggan tu, "nanti.balik cerita kat isteri, encik tengah diet sihat". Ini supaya mudahkan pelanggan menukar gaya hidup dan mendapat pilihan makanan yang lebih sihat dan khasiat. Bila keluarga sama-sama menyokong pasti berjaya. Saya doakan pelanggan tersebut dapat mencapai berat badan ideal. Untuk kesejahteraan dirinya dan keluarga. Hidupnya pasti akan lebih bermakna. InsyaAllah.

#HZJ_SSWC

Rabu, 9 Oktober 2013

TALI TAPE UNTUK UKUR BADAN?

Bila kita tengok tali tape atau pita pengukur mesti terfikir yang benda ini lah yang paling penting untuk ukur baju...haha...ada satu cara nak bagi motivasi pada kawan-kawan yang nak capai berat badan ideal.
Cuba buat ukuran saiz pinggang masing-masing. Untuk perempuan, saiz ukur lilit pinggang ideal ialah 80cm. Bagi lelaki pula hanya 90cm. Kalau terlebih ukuran saiz pinggang tu, paham-paham le..mungkin dah kategori obes atau boroi..maksud lain, banyak lemak tepu / simpanan lemak di keliling perut tu...Jadi apa tunggu lagi?  Jom ambil tali tape dan ukurlah sekarang. 
Satu cara lagi, cuba gantungkan baju kegemaran yang sedikit kecil. Contoh, sekarang kalau saiz baju kita bersaiz xxl. Cuba gantungkan baju saiz xl di tempat yang mudah nampak. Tengoklah hari-hari. Tanamkan dalam diri, satu hari nanti pasti kita muat pakai baju tu. Mesti bolehkan. Setakat ini dulu. Sedikit motivasi buat yang tengah berdiet. Selamat mencuba.

#HZJ_SSWC

SO SWEET WELLNESS CENTRE

"Seganlah nak gi bersenam kat gym campur lelaki perempuan tapi teringin". Dialog dalam diri bagi kebanyakkan wanita termasuk saya. Kita sedar tentang pentingnya bersenam untuk jaga kesihatan tetapi masalahnya tiada tempat yang sesuai untuk kita bersenam tanpa rasa segan. 


Jadi untuk membantu menyelesaikan masalah ini, kami berusaha menyediakan satu tempat khas untuk golongan wanita mengeluarkan peluh. Setelah beberapa bulan berhempas pulas, maka wujudlah SO SWEET WELLNESS CENTRE yang terletak di 12-1, Lorong 1, Jalan Desa Molek 11, Taman Desa Molek, Ayer Molek, 75460 Melaka.


Untuk wanita-wanita yang tinggal berhampiran, silalah meluangkan masa bersenam dan beraerobik tanpa rasa malu dan segan serta tanpa rasa khuatir aurat anda ditonton orang lelaki.

Aktiviti atau perkhidmatan yang kami sediakan adalah:
- Gym (Treadmill & spinning bike)
- Kelas aerobik
- Khidmat nasihat penurunan berat badan samada secara
  datang sendiri ke SSWC atau secara online
- Pemeriksaan tekanan darah tinggi, kencing manis dan BMI
  semasa pendaftaran
- Menjual pakaian 'fitness wears & dance wear'
                                     


#SNSI_SSWC


Isnin, 7 Oktober 2013

GEMUK SEBAGAI IMAGE @ TRADEMARK?

Baru-baru ni saya dan rakan berpeluang menghadiri seminar 4 hari di KL. Banyak yang saya pelajari, terutamanya mengenai keusahawanan, kenali potensi diri dan banyak lagi. Ramai rakan-rakan baru yang saya jumpa. Cuma ada satu yang terkesan dihati saya. Tujuan saya cerita ni bukan nak memburukkan sesiapa. Begini ceritanya...


Salah seorang peserta seminar yang saya jumpa bersaiz xxl. Anggaran berat badan 120kg dengan ketinggian 160cm. Semasa berjumpa dengan kawan tersebut, kami berbincang tentang kepakaran dan perniagaan kami. Saya berkongsi maklumat tentang program yang saya dan sahabat saya sedang jalankan iaitu program 'Jom Capai Berat Badan Ideal'. Kami berkongsi tentang kelebihan dan keperluan kita menjaga badan dan mempunyai berat badan yang sesuai dengan ketinggian. Jawapan yang kami terima amat mengejutkan, "Saya tak nak kurus, biar jadi Trademark". MasyaAllah. Saya dengan kawan terdiam. Berat badan berlebihan/obesiti sangat bahaya. Berisiko pada macam-macam penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi. 

Perjuangan saya dan rakan-rakan hanyalah ingin menambah nilai pada yang memerlukan. Tetapi jika diri sendiri sudah meletakkan 'tembok' pada diri sendiri, tiada orang lain yang dapat membantu proses seterusnya yang boleh membawa kebahagiaan diri.

#HZJ_SSWC#

Ahad, 6 Oktober 2013

Mari Bersenam

Hari ahad adalah hari cuti kebanyakkan warga Malaysia. Hari inilah hari yang ramai orang ingin bermalasan di rumah. Ada yang bangun lewat, ada yang beristirehat sambil menonton tv.

Pagi ini tepat jam 7.30 pagi, saya telah berada di pusat senaman SO SWEET WELLNESS CENTRE (SSWC). Hari ini saya dan rakan kongsi merangkap pengajar aerobik (aerobic instructor) iaitu Feeza ada sesi aerobik. Sesi aerobik ini adalah sebagai latihan untuk memantapkan ilmu dan langkah (step) sebelum kami memulakan kelas aerobik dalam masa 1-2 minggu lagi.





Seronoknya dapat keluarkan peluh dan bersenam, terasa badan segar dan sihat. Dengan beraerobik selama sejam, lebih kurang 300-400 kalori dapat dibakar. Jika kita sayangkan badan kita, luangkan masa bersenam tidak kiralah beraerobik, berjogging atau berjalan pada setiap kali bercuti hujung minggu. Jika dapat diamalkan setiap hari adalah lebih baik terutamanya bagi sesiapa yang ingin menurunkan berat badan.

#SNSI_SSWC#
Happy & Healthy

Sabtu, 5 Oktober 2013

Sayang Badan

Assalamualaikum... 
Salam sejahtera... 

Pertama kali saya menulis di dalam blog dan tahniah pada diri sendiri. Pada mulanya agak ragu-ragu samada boleh atau tidak saya menulis. Saya pernah cuba sebelum ini tetapi tersekat apabila kekurangan idea. Namun, apabila baru-baru ini mendapat pesanan dari mentor saya, beliau pesan menulis menggunakan emosi alhamdulillah saya berjaya menulis dengan lancar. 

Eloklah saya perkenalkan diri. Nama saya Siti Norsapizah Binti Idris, saya seorang ahli farmasi yang mempunyai perniagaan farmasi. Kini saya dan rakan-rakan saya mengorak langkah menyediakan satu tempat senaman dan aerobik khas untuk wanita yang dinamakan So Sweet Wellness Centre (SSWC). Saya salah seorang 'team' SSWC yang akan mencoretkan nukilan di blog ini. Coretan di blog ini juga akan dihasilkan oleh dua orang lagi 'team' SSWC iaitu Hazlen Jisan dan Norhafizah Ibrahim. 

Tujuan blog ini diwujudkan adalah untuk membantu dan memberi kesedaran kepada sanak saudara dan kawan-kawan serta orang ramai tentang pentingnya menjaga dan menyayangi badan kita. Tubuh badan kita adalah pinjaman dari pencipta sehingga kita meninggal dunia. Berapa lama kita akan menggunakan tubuh badan ini hanya Dia yang tahu. Sementara kita masih hidup ini, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menyayanginya.

#SNSI_SSWC#
Happy & Healthy